Logo Jabatan Perangkaan Malaysia

Makanan Apakah Yang Ditanam di Kampung Halaman Anda?

Selamat datang ke bahagian ketiga daripada siri empat bahagian #BP2024, dibawakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersempena Banci Pertanian 2024. Dalam siri ini, kita akan menerokai bidang pertanian di Malaysia menerusi kuiz, permainan, dan infografik – dalam bentuk hiburan dan fakta ringkas yang menyeronokkan!

Sekali imbas, Malaysia mungkin kelihatan kecil sahaja di atas peta. Namun, tahukah anda bahawa negara ini sebenarnya sebuah negara bersaiz sederhana? Dengan keluasan tanah  330,411 kilometer persegi (atau 33,041,140 hektar), kita berada di kedudukan ke-66 negara terbesar di dunia.

Negara kita diberkati dengan iklim tropika yang menerima hujan dan panas sinaran matahari sepanjang tahun, sesuai untuk kegiatan pertanian. Namun, agak mengejutkan, hanya 3% tanah kita digunakan untuk menanam tanaman makanan. Berdasarkan data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk tahun 2023, angka tersebut merangkumi 982,586 hektar keluasan tanah – kira-kira saiz negeri Kedah.

Mari fikir sejenak: Pertumbuhan populasi Malaysia meningkat dari 30.7 juta pada 2014 kepada 33.4 juta pada 2024 – peningkatan sebanyak 9%, atau seramai 2.7 juta orang. Dengan pertambahan rakyat, anda pasti menjangkakan kita akan menggunakan tanah yang lebih luas untuk tanaman makanan, kan? Tekaan anda silap. Dari 2014 hingga 2023, saiz tanah pertanian sebaliknya telah menurun sebanyak 7.6% – iaitu 80,478 hektar, kira-kira tiga kali ganda saiz Kuala Lumpur, berdasarkan data oleh KPKM.

Anda mungkin terfikir bahawa kita mungkin telah berjaya meningkatkan hasil tanaman untuk mengimbangi pengurangan saiz tanah pertanian, tetapi data menunjukkan sebaliknya. Hasil tanaman juga telah menurun sebanyak 10%, dari 6.79 juta tan metrik pada 2014 kepada 6.1 juta tan metrik pada 2023.

Penurunan pengeluaran tanaman dan tanah pertanian sejak sedekad lalu

Berapa luaskah tanah yang digunakan untuk tanaman makanan?

Dengan pengeluaran makanan yang semakin berkurangan sementara saiz populasi pula semakin meningkat, Malaysia semakin bergantung kepada makanan import. Bahkan, seperti yang dinyatakan dalam artikel kami yang terdahulu tentang keterjaminan makanan, kita mengimport lebih banyak beras bagi beberapa tahun kebelakangan ini ekoran pengeluaran tempatan yang semakin menurun.

Mari lihat dengan lebih dekat di manakah tanaman makanan diusahakan dan jenis tanaman apa yang ditanam. Memandangkan nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia, tidaklah memeranjatkan apabila lebih 60% tanah pertanian kita digunakan untuk penanaman padi. Buah-buahan berada di kedudukan kedua, merangkumi satu perlima daripada keluasan tanah pertanian.

Yang menariknya, kesemua enam kategori tanaman makanan menunjukkan penyusutan saiz tanah sejak sedekad lalu, dengan penyusutan antara 1.6% hingga 18.2%. Saiz tanah pertanian yang mencatat penyusutan tertinggi adalah sawah padi, menyusut hampir 10% — atau 130,314 hektar, iaitu keluasan yang lebih besar dari saiz Pulau Pinang.

Salah satu sebab kepada penyusutan ini adalah kerana kebanyakan tanah pertanian di Malaysia didominasi oleh komuniti industri seperti kelapa sawit dan getah, yang lebih penting dari sudut ekonomi. Berdasarkan satu laporan oleh Khazanah Research Institute pada Ogos tahun ini, hanya 16.3% daripada tanah pertanian digunakan untuk hasil makanan. Selebihnya pula diperuntukkan untuk komuniti industri. Walau bagaimanapun, perubahan dalam saiz tanah tidak semestinya selari dengan trend pengeluaran. Contohnya, pengeluaran hasil buah-buahan dan kelapa sebenarnya meningkat, meskipun saiz tanah pertaniannya mengalami penyusutan. Pengeluaran buah-buahan meningkat sebanyak 14%, manakala pengeluaran kelapa menyaksikan peningkatan hampir 5%. Ini menunjukkan hasil tanaman boleh dipengaruhi oleh faktor-faktor lain, seperti pola cuaca dan kualiti tanah.

Tanaman makanan yang diusahakan di kampung anda

Pernahkah anda terfikir, tanaman makanan apakah yang diusahakan di kampung anda? Kebanyakan daripada kita, terutamanya yang tinggal di kawasan bandar, mungkin tidak sedar bahawa daerah tempat kita membesar sebenarnya merupakan sebahagian daripada jaringan pengeluaran makanan di Malaysia.

Dengan menggunakan data tanaman peringkat daerah dari KPKM, kami menghasilkan laman interaktif untuk anda melihat sendiri bahan makanan apakah yang paling banyak dihasilkan di kawasan anda.

Di mana kampung anda?

Bagaimana? Adakah anda terkejut dengan tanaman yang diusahakan di sekitar kawasan anda?

Antara sebab mengapa ramai orang tidak begitu memberikan perhatian terhadap bidang pertanian adalah disebabkan stereotaip yang masih wujud tentang industri berkenaan. Pertanian masih sering dianggap sebagai bidang kerja yang sukar, kotor dan bergaji rendah. Data DOSM menunjukkan bahawa petani dalam sektor tanaman, ternakan dan perikanan, masing-masing memperoleh purata pendapatan RM1,524, RM2,074, dan RM2,241 setiap bulan.

Jadi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila pekerjaan dalam bidang pertanian semakin merosot. Pada 1990, pekerjaan pertanian merangkumi 19% daripada jumlah tenaga kerja Malaysia; pada 2022, angka itu merosot kepada hanya 10%, berdasarkan laporan Khazanah Research Institute. Setakat 2023, seramai 2.37 juta rakyat Malaysia bekerja dalam bidang pembuatan, berbanding hanya 1.54 juta dalam bidang pengeluaran makanan, berdasarkan statistik dari sebuah artikel yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia.

Trend ini mungkin tidak akan menunjukkan perubahan sekiranya tiada campur tangan yang signifikan. Malah, satu tinjauan oleh Khazanah Research Institute mendapati bahawa bidang pertanian dan perikanan merupakan antara pilihan pekerjaan yang paling tidak popular dalam kalangan belia Malaysia, termasuk mereka yang mempunyai ibu bapa yang berkecimpung dalam industri berkenaan.

Negeri-negeri yang menunjukkan trend berbeza

Mari beralih ke peringkat negeri. Lima buah negeri – Melaka, Terengganu, Sabah, Kelantan dan Perlis – menunjukkan peningkatan saiz tanah pertanian antara tempoh 2014 hingga 2023. Daripada negeri-negeri ini, Perlis menunjukkan peningkatan terbesar sebanyak 9,935 hektar, iaitu kira-kira saiz dua buah bandar Putrajaya.

Sebaliknya, Sarawak menunjukkan penyusutan paling teruk. Tanah pertanian di Sarawak menyusut hampir 40%, iaitu lebih besar daripada saiz separuh Pulau Pinang. Saiz tanah sawah padi menyusut separuh, dari 123,471 hektar kepada hanya 61,342 hektar bagi tempoh sedekad lalu. Akibatnya, pengeluaran padi di negeri tersebut juga merosot separuh dari 232,078 tan metrik kepada 118,163 tan metrik.

Sebagai perbandingan, Kedah – negeri jelapang padi terbesar yang menyumbang lebih sepertiga kepada pengeluaran padi Malaysia – mengekalkan kawasan sawah padinya sekitar 212,400 hektar. Meskipun begitu, pengeluaran padi Kedah merosot hampir 30%.

Jika dilihat dari sudut pengeluaran tanaman makanan secara keseluruhan, hanya Kelantan, Johor dan Melaka yang menunjukkan pertumbuhan hasil. Di Johor, pertumbuhan ini didorong oleh tanaman buah-buahan dan rempah-ratus, manakala di Kelantan, ia didorong oleh tanaman kelapa dan sayur-sayuran. Namun, pertumbuhan di Melaka tidak begitu signifikan kerana jumlah pengeluaran yang kecil.

Sementara itu, Pahang dan Kedah mencatatkan kemerosotan paling teruk. Di Pahang, pengeluaran sayur-sayuran di Cameron Highland sahaja telah merosot teruk sebanyak 50%.

Mahu ketahui dengan lebih lanjut berkenaan perkara ini? Anda boleh lihat dua carta interaktif di bawah untuk melihat perbandingan antara saiz tanah pertanian dengan hasil pengeluaran tanaman di setiap negeri. Untuk maklumat lanjut, layari laman web DOSM untuk mengakses rekod komprehensif sejak beberapa dekad yang lalu.

Tanah tanaman pertanian mengikut negeri: 2014 hingga 2023

Pengeluaran tanaman makanan mengikut negeri: 2014 hingga 2023

Jika data di laman ini tidak mencukupi untuk menjawab persoalan yang bermain di kepala anda, sila layari laman web DOSM untuk mendapatkan lebih banyak data tersedia dalam pelbagai format, mencakupi tempoh yang lebih lama.

Bagaimana data ini dikumpulkan?

Semua data yang anda lihat ini diperolehi daripada Banci Pertanian, yang merupakan tinjauan besar-besaran yang dijalankan oleh DOSM di seluruh negara. Ia meliputi semua kumpulan dan keluarga yang menjalankan perusahaan pertanian di seluruh Malaysia, termasuklah penanaman, penternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan.

Kenapa banci ini penting? Pengumpulan data yang tepat dan boleh dipercayai dapat membantu kerajaan menggubal dasar bagi melonjakkan lagi produktiviti pertanian, menangani perubahan iklim dan meningkatkan keterjaminan makanan. Ia juga dapat membantu kerajaan menangani ancaman terhadap keterjaminan makanan kita, seperti perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan.

Menjayakan banci sebegini bukanlah satu kerja yang mudah. Pegawai-pegawai dari DOSM dan agensi-agensi kerajaan yang lain harus pergi ke seluruh pelusuk negara untuk melakukan temu bual secara bersemuka dengan para petani, nelayan, pemborong, dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam sektor pertanian. Data daripada agensi kerajaan lain turut digunakan.

Sejak diperkenalkan pada 1963, Banci Pertanian hanya pernah dijalankan sebanyak empat kali sahaja memandangkan ia memerlukan sumber yang sangat besar. Banci terkini telah selesai pada Oktober 2023, hampir dua dekad selepas banci terdahulu pada 2005. DOSM kini sedang memproses data yang diperolehi, jadi nantikan lebih banyak maklumat dan dapatan daripada #BP2024!