Di dalam empat siri artikel interaktif 4 #BP2024 yang dibawa khas oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bersempena dengan pelaksanaan Banci Pertanian 2024, anda akan didedahkan dengan fakta-fakta yang menarik mengenai pertanian di Malaysia menerusi kuiz, permainan dan infografik.

Cuba teka, berapa banyak yang kita makan setiap tahun sebagai rakyat Malaysia?
Kita mulakan dengan kuiz.
Cuba teka pengambilan makanan rakyat Malaysia pada carta di bawah. Klik pada ruang putih untuk melukis garis tekaan anda pada carta, kemudian klik pada butang di bawah carta untuk memeriksa jawapan.
Jika tidak mengambil kira buah kelapa yang kebanyakannya digunakan untuk memasak dan untuk mendapatkan air kelapa, maka durianlah yang unggul menjadi buah kegemaran rakyat Malaysia.
Menurut satu kajian pada tahun 2020, kita makan lebih banyak durian berbanding negara pengeluar durian lain seperti Thailand, Indonesia dan Vietnam, dan juga jiran dekat kita Singapura. Meskipun China merupakan pembeli durian terbesar, meliputi 91% pasaran durian global pada 2023, secara purata, rakyat China hanya makan 0.21kg durian sahaja pada 2016.
Cukuplah tentang durian. Mari ke soalan seterusnya.
Apakah faktor kepada trend tersebut? Menurut Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (MPIB) Sheikh Umar Bagharib Ali, ia didorong peningkatan kesedaran rakyat Malaysia terhadap manfaat dan kelebihan memakan buah nanas sebagai “buah super”.
“Trend ini semakin meningkat sejak zaman Covid-19, dan orang percaya bahawa nanas boleh menjadi penawar kepada sakit tekak dan boleh membunuh virus Covid-19. Dakwaan ini tiada bukti saintifik, tetapi kita sendiri sedia maklum bahawa nanas merupakan sumber Vitamin C yang bagus. Tambahan pula, ia bagus untuk sistem pencernaan kita,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya lagi, sejak diperkenalkan varieti premium baru yang disebut “MD2”, rakyat Malaysia makan lebih banyak nanas kerana varieti itu lebih manis, kurang berasid, dan tidak lidas.
Berbicara tentang pengambilan daging ayam, Malaysia sekali lagi menjadi antara yang mengungguli carta di rantau ini. Menurut data daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dari segi jumlah daging ayam yang tersedia buat setiap rakyat secara purata, pada tahun 2021 (data terbaru), Malaysia berada di kedudukan ke-17 di peringkat antarabangsa dan di kedudukan pertama di rantau Asia Tenggara. Meskipun bukanlah kayu ukur secara langsung, ia masih lagi merupakan indikator yang baik berkenaan jumlah daging ayam yang diambil oleh rakyat Malaysia.
Data tersebut menunjukkan bahawa secara purata, seorang rakyat Malaysia makan 47.6kg daging ayam pada tahun 2021. Negara-negara jiran kita jauh ketinggalan di belakang.
Permintaan terhadap kubis bulat adalah sangat tinggi sehingga tidak dapat ditampung oleh pengeluaran tempatan. Walaupun petani tempatan telah menghasilkan lebih banyak kubis bulat sejak tahun-tahun kebelakangan ini, ia hanya dapat menampung kira-kira separuh daripada permintaan domestik. Pada tahun 2022, sebanyak 55% kubis bulat yang terdapat di negara kita adalah hasil import.
Terdapat bahan makanan dengan kadar pengambilan tinggi yang tidak dapat ditampung oleh penghasilan tempatan seperti lada, kelapa dan mangga. Untuk produk-produk ini, kita sangat bergantung kepada hasil import dan kerajaan perlu campur tangan untuk mengawal harganya yang turun naik ekoran faktor luaran seperti masalah geopolitik dan perubahan iklim.
Kerajaan juga sedang berusaha keras untuk meningkatkan hasil pengeluaran bahan makanan tersebut bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil import dan mengukuhkan keterjaminan makanan negara. Perkara itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam artikel lain.
Berkongsi makanan terbaik Malaysia dengan dunia
Dari satu segi yang lain pula, sebahagian produk pertanian kita sangat bagus sehingga kita memasarkannya ke negara lain, terutamanya produk yang melebihi permintaan domestik.

Kebanyakan rakyat Malaysia sudah sedia maklum bahawa kita merupakan salah satu pengeksport utama durian. Varieti Musang King dari Malaysia sangat terkenal sehinggakan penggemar durian di China menggelarnya sebagai “Hermes Segala Durian”. Rasanya yang lebih lazat terbukti menerusi satu kajian pada 2019 yang mendapati bahawa durian Malaysia lebih digemari oleh penggemar durian dari China berbanding durian Thailand.
Bagaimanapun, anda mungkin tidak tahu bahawa Malaysia juga mengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran lain. Pada 2022, kita mengeksport tembikai pada jumlah yang hampir sama dengan durian, jika dilihat dari segi berat buah. Sebelum 2022, eksport tembikai sentiasa lebih tinggi dari durian! Tomato pun dieksport pada jumlah yang lebih tinggi dari durian sebelum tahun 2021. Pun begitu, kita harus ingat bahawa durian dijual pada harga yang jauh lebih tinggi berbanding tembikai dan tomato.
Lain-lain hasil pertanian yang paling banyak dieksport oleh Malaysia termasuklah timun, pisang, betik, nanas dan salad.
Bagaimana pula dengan produk yang diimport? Seberapa bergantungkah kita kepada makanan import? Adakah kita menghasilkan makanan yang cukup untuk menampung keperluan seluruh penduduk Malaysia? Persoalan-persoalan ini akan kita rungkaikan dalam artikel yang seterusnya. Tunggu dan ikuti #BP2024.
Dari mana data ini diperolehi?
Data berkenaan pengambilan makanan rakyat Malaysia yang anda baca dalam artikel ini diperolehi menerusi satu inisiatif kerajaan yang dikenali sebagai Banci Pertanian. Ia merupakan kaji selidik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang meliputi semua kumpulan dan isi rumah di seluruh Malaysia yang menjalankan aktiviti pertanian termasuklah penanaman, penternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan.
Untuk menjalankan pengumpulan data di seluruh pelusuk negara ini, ia memerlukan sumber manusia dan masa yang banyak serta peruntukan yang besar. Oleh itu, ia hanya dijalankan sebanyak tiga kali sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. Kali terakhir ia dijalankan adalah pada 2005, iaitu 19 tahun lalu! Banci Pertanian #BP2024 yang seterusnya akan dijalankan pada tahun ini, dari Julai hingga Oktober.
Anda mungkin pernah dengar, bahkan mungkin pernah turut serta dalam satu lagi banci pada skala besar, iaitu Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (MyCensus 2020), yang telah dijalankan pada 2020 semasa pandemik COVID-19. Ia berbeza daripada Banci Pertanian memandangkan Banci Pertanian hanya merangkumi penduduk yang menjalankan aktiviti pertanian manakala MyCensus pula merangkumi seluruh penduduk di Malaysia.
Anda mungkin tertanya mengapa kerajaan memerlukan pelaksanaan kaji selidik secara besar-besaran sebegitu. Ia kerana maklumat dan data yang dikumpul akan digunakan oleh kerajaan untuk merancang dan membangunkan negara kita.
Kerajaan akan menggunakan dapatan daripada Banci Pertanian ini untuk melaksanakan dasar yang bermatlamat meningkatkan produktiviti pertanian kita menerusi inovasi teknikal, amalan terbaik mampan dan pendekatan-pendekatan lain.
Maklumat dan data yang dikumpul daripada banci berkenaan seperti varieti tanaman, pemilikan tanah dan saiz ladang akan membantu kerajaan untuk membuat keputusan termaklum tentang bagaimanakah cara terbaik untuk menyokong pemegang taruh/ pihak berkepentingan.
Dengan dasar berkesan hasil daripada data yang boleh dipercayai, rakyat Malaysia dapat menikmati bekalan makanan yang lebih segar, murah, stabil dan mampan. Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Disember lalu memaklumkan kepada pihak media bahawa “maklumat utama yang akan dihasilkan daripada bancian berkenaan adalah demografi pegangan pertanian, keluasan tanah, sistem pengairan, pekerja, agro-pelancongan, kemudahan pembiayaan”.
Selain itu, termasuklah juga pendapatan dan perbelanjaan aset, amalan pertanian dan penggunaan teknologi, ekonomi digital dalam pemasaran serta aspek keterjaminan makanan.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Dato’ Nor Azmie Diron, maklumat tersebut akan dapat membantu penggubal undang-undang untuk merangka dasar yang lebih baik berkenaan keterjaminan makanan dengan mengumpul semak data berkenaan pertanian dan industri berasaskan pertanian.
Dalam tempoh di mana banci tidak dijalankan, agensi-agensi berkaitan masih mengumpul statistik pertanian utama seperti data pengeluaran. Walau bagaimanapun, Banci Pertanian dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran lengkap dan ‘tepat pada masanya’ berkenaan sektor pertanian Malaysia.
