Logo Jabatan Perangkaan Malaysia

Import beras Malaysia semakin meningkat sejak pandemik COVID-19. Apakah kesannya kepada keterjaminan makanan negara?

Ini merupakan bahagian kedua daripada empat siri artikel #BP2024 yang disiarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bersempena dengan Banci Pertanian 2024. Siri ini bertujuan menyampaikan fakta-fakta yang perlu anda tahu mengenai pertanian di Malaysia menerusi kuiz, permainan dan infografik.

Ramai orang Malaysia yang mengaku “tidak boleh hidup kalau sehari tidak makan nasi”. Apabila berkunjung ke luar negara sekalipun, orang Malaysia masih mencari “nasi” di restoran-restoran menggunakan Google Maps. Dalam masyarakat Malaysia yang majmuk, setiap kaum memiliki makanan kegemaran tersendiri, namun nasi masih menjadi makanan ruji bagi warganegara Malaysia, merentasi perbezaan kaum mahupun budaya.

Pada 2022, secara purata, rakyat Malaysia makan 1.5 pinggan nasi setiap hari, atau 77 kg nasi setahun. Antara 54 makanan utama yang dijejaki oleh DOSM - termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, dan daging - nasi jauh mengatasi makanan lain sebagai makanan yang paling banyak diambil, diikuti denganayam (28 kg), kelapa (24.2 kg termasuk tempurung kelapa), telur (22.6 kg), dan babi (17.6 kg).

Walau bagaimanapun, pengambilan nasi oleh rakyat Malaysia semakin berkurang. Sedekad lalu, pada 2014, secara purata, rakyat Malaysia makan 1.75 pinggan nasi setiap hari, bersamaan 83.8 kg setahun. Yang menariknya, pengambilan nasi merudum pada 2019 dengan purata 74 kg setahun. Ia melonjak semula ke sekitar 80 kg semasa pandemik COVID-19, disebabkan sekatan perjalanan yang membuatkan lebih ramai memasak di rumah.

Meskipun permintaan semakin berkurangan, import beras Malaysia semakin meningkat berbanding sebelumnya. Ini disebabkan oleh pertumbuhan populasi kini dan penurunan pengeluaran beras tempatan. Pada 2022, Malaysia menghasilkan 1,575 tan metrik beras, iaitu penurunan 6% berbanding 1,677 tan metrik yang dihasilkan pada 2013.

Bagi memenuhi permintaan beras tempatan, import beras Malaysia telah melonjak dalam tempoh sedekad lalu, daripada 853 tan metrik pada 2013 kepadaa 1,113 tan metrik pada 2022. Peningkatan sebanyak 30%! Secara nisbahnya, dalam setiap kilogram beras yang diambil, 400 gram merupakan beras import. Sekiranya berlaku krisis beras global, Malaysia akan mengalami kekurangan bekalan yang teruk, dan harus mengurangkan pengambilan beras sebanyak 40%. Dengan kata lain, 4 daripada 10 rakyat harus berhenti makan nasi!

Kadar sara diri - SSR

Selain beras, Malaysia turut mengimport makanan asas yang lain. Bagi mengukur kemampuan sesebuah negara memenuhi keperluan makanannya menerusi penghasilan domestik, kita menggunakan kadar sara diri (SSR), iaitu penunjuk piawai yang digunakan secara global.

Kadar Sara Diri = Pengeluaran * 100 / (Pengeluaran + Import - Eksport)

SSR diukur dari skala 0 sehingga lebih 100. Kadar lebih tinggi menunjukkan kemampuan sara diri yang lebih baik. Angka menghampiri sifar menunjukkan sesebuah negara itu harus mengimport hampir semua makanan untuk memenuhi permintaan tempatan, manakala angka 100 atau lebih pula menunjukkan pengeluaran tempatan telah memenuhi atau melebihi permintaan domestik.

Pada 2022, dengan SSR mencecah 108.9, Malaysia menghasilkan bekalan telur yang mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan, bahkan telah mengeksport melebihi pengeluaran. Sebaliknya, SSR buah mangga pula hanyalah 32, menunjukkan pengeluaran tempatan hanya mampu memenuhi sepertiga daripada permintaan, dan selebihnya kita harus bergantung pada bekalan import.

Untuk beras pula, SSR adalah sekitar 63 ke 70 sejak sedekad lalu. Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan angka ini ke 75 menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dan ke angka 80 di bawah Dasar Agromakanan Negara (2021-2030). Sasaran jangka panjang adalah untuk mencapai SSR 100% bagi mengurangkan kesan sekiranya berlaku gangguan pasaran global.

Seberapa banyak yang anda tahu mengenai bekalan makanan kita?

Mari berehat sebentar daripada berbincang soal beras. Cuba uji pengetahuan anda mengenai bekalan bahan makanan lain pula. Bolehkan anda menganggar SSR untuk lima bahan makanan di bawah? Gerakkan penunjuk ke angka yang anda rasa tepat.

Kuiz di atas meliputi 5 bahan makanan, tetapi DOSM telah menyediakan 54 komoditi pertanian, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan, dan ikan yang selalu menjadi makanan rakyat Malaysia. Mari kita periksa bekalan bahan-bahan makanan ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas.

Terdapat empat bahan makanan yang sepenuhnya bergantung pada bekalan import - epal, bawang besar, bawang merah, dan bawang putih. Untuk 50 lagi bahan makanan, kurang separuh (23) daripadanya mencatatkan SSR melebihi 100 pada tahun 2022, bermakna pengeluaran tempatan melebihi permintaan domestik.

Bahan makanan dengan SSR tertinggi ialah tebu, betik, tembikai, dan daging itik, manakala bahan makanan dengan SSR terendah ialah kambing, lembu, halia dan lada.

Bagaimana prestasi Malaysia berbanding negara-negara lain?

Nampaknya, Malaysia masih jauh ketinggalan untuk mencapai kemampuan sara diri mutlak. Kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang situasi kita dengan melihat kepada situasi di negara-negara lain, terutamanya negara jiran.

Indeks Keterjaminan Makanan Global telah mengakses keterjaminan makanan di lebih 100 buah negara sejak 2012, termasuk Malaysia. Indeks itu merangkumi lebih daripada kemampuan sara diri makanan semata-mata. Ia menilai keterjaminan makanan secara komprehensif menerusi empat tonggak: kemampuan, ketersediaan, kualiti dan keselamatan, kemampanan serta penyesuaian.

Malaysia berada di kedudukan ke-41 daripada 113 negara, dengan skor 69.9 per 100, untuk indeks bagi tahun 2022 yang terbaharu. Kita mengungguli aspek kemampuan (87/100), namun memperoleh skor purata sahaja untuk kemampanan dan penyesuaian (53.7/100) serta ketersediaan (59.5/100).

Di rantau ini, kita berada di kedudukan kelapan daripada 23 negara Asia Pasifik, dan berada di kedudukan kedua dalam kalangan negara Asia Tenggara, di belakang Singapura. Dalam kalangan negara berpendapatan sederhana tinggi, kita berada di kedudukan keenam. Dalam kata lain, prestasi kita agak baik jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Tambahan pula, skor Malaysia menunjukkan peningkatan sejak 2012. Pada ketika itu, negara hanya mencatat skor 63.9.

Ancaman terhadap keterjaminan makanan

Kekurangan dalam aspek keterjaminan makanan boleh menjurus kepada berlakunya konflik, ketidakstabilan, kemiskinan, malnutrisi, bahkan kebuluran. Apakah cabaran yang dihadapi ketika Malaysia sedang berusaha untuk meningkatkan keterjaminan makanan?

Salah satu faktor global utama yang memburukkan lagi ketidakjaminan makanan adalah perubahan iklim. Menurut felo Akademi Sains Malaysia, perubahan iklim menyebabkan kenaikan suhu, kenaikan aras laut, kejadian cuaca ekstrem, dan hakisan tanah di Malaysia, sekali gus mengancam keterjaminan makanan.

“Ekoran pemanasan global, suhu udara di Perlis dan Kedah kadangkala meningkat mencecah 40ºC, berlaku pada musim kering. Petani bimbang air tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di dataran Kedah-Perlis, yang merupakan jelapang padi utama negara,” ulasnya dalam satu artikel yang disiarkan pada 2022.

“Peningkatan suhu turut mengubah pola cuaca. Banjir besar mula melanda dengan lebih kerap di negara ini, seperti yang melanda Kelantan (2014) dan Selangor (2021),” tambahnya lagi.

Satu lagi ancaman terkini terhadap keterjaminan makanan di Malaysia adalah gangguan rantaian bekalan, akibat daripada perang Rusia-Ukraine dan pandemik COVID-19, yang telah meningkatkan harga baja dan makanan ruji seperti bijiran.

Sidang media Banci Pertanian 2024 telah diadakan pada 7 Julai 2024 oleh Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin (keempat dari kiri) di Kampung Paya Burma, Mata Ayer, Perlis. Ia turut dihadiri Pengarah DOSM Perlis Hamka Ismail.

Usaha bagi memastikan makanan cukup buat rakyat Malaysia

Sidang media Banci Pertanian 2024 telah diadakan pada 7 Julai 2024 oleh Ketua Perangkawan Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahidin (keempat dari kiri) di Kampung Paya Burma, Mata Ayer, Perlis. Ia turut dihadiri Pengarah DOSM Perlis Hamka Ismail.

Kerajaan Malaysia sedar akan cabaran keterjaminan makanan dan telah melancarkan beberapa dasar untuk menanganinya. Dasar-dasar utama termasuklah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025), Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025), dan Dasar Agromakanan Negara (2021-2030)

Penjenamaan semula Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) pada 2022 menunjukkan dedikasi kerajaan untuk memantapkan keterjaminan makanan negara.

Meskipun di dalam siri ini kita tidak akan melihat dasar-dasar ini secara mendalam, terdapat satu elemen penting yang harus ditekankan – data. Merangka dan melaksanakan dasar tanpa data yang tepat dan terkini, adalah tidak ubah seperti berjalan di dalam gelap.

Kita perlukan data untuk menjawab pelbagai persoalan: Mampukah kita menghasilkan makanan yang mencukupi buat semua rakyat Malaysia? Bagaimana dapat kita tingkatkan pendapatan petani menerusi hasil pertanian? Apakah strategi kita dalam import dan eksport bahan makanan? Siapakah yang patut menerima subsidi kerajaan? Apakah infrastruktur yang harus ditambah baik atau dibangunkan?

Kita memerlukan data pertanian yang diintegrasi dengan data ekonomi, sosial, dan persekitaran untuk merangka dasar yang komprehensif dan selari dengan keutamaan nasional. Contohnya, bagaimana dapat kita tingkatkan produktiviti pertanian, tetapi dalam masa yang sama mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Apakah faktor yang menyumbang kepada pendapatan isi rumah di kawasan luar bandar - adakah pertanian atau aktiviti lain?

Namun, bagaimana data ini dikumpul supaya dapat memberi maklumat yang cukup kepada dasar-dasar pertanian? Pendekatan yang paling penting adalah pelaksanaan pengumpulan data di seluruh negara, yang dikenali sebagai Banci Pertanian. Banci ini dijalankan oleh DOSM dan meliputi semua kumpulan dan isi rumah di seluruh Malaysia yang menjalankan aktiviti pertanian termasuklah penanaman, penternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan. Selain itu,data pentadbiran yang dikumpulkan oleh pelbagai agensi turut digunakan sebagai asas kepada pelaksanaan ini.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang melakukan survei sedemikian. Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) telah membangunkan piawaian global untuk survei sebegini. Negara yang telah selesai melakukan banci pertanian termasuklah Jepun, Kanada, Australia, Korea Selatan, China, dan negara jiran seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Untuk menjalankan pengumpulan data di seluruh pelusuk negara ini, banci ini memerlukan sumber manusia dan masa yang banyak serta peruntukan yang besar. Oleh itu, banci hanya dijalankan sebanyak tiga kali sejak penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. Kali terakhir banci dijalankan adalah pada 2005, iaitu 19 tahun lalu! Banci Pertanian #BP2024 yang seterusnya akan dijalankan pada tahun ini, dari Julai hingga Oktober.

Dalam tempoh tiga bulan ini, DOSM akan menemu bual kira-kira 1.3 juta rumah dan isi rumah, serta kira-kira 20,000 pertubuhan untuk mendapatkan data yang diperlukan. Ia membabitkan perjalanan ke seluruh pelosok negara untuk melakukan temu bual secara bersemuka dengan para petani, nelayan, pemborong, dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam pertanian. Data yang telah dikumpulkan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti rekod tanah juga turut digunakan sebagai asas untuk pelaksanaan tinjauan ini.

Pembanci bukan hanya akan mengumpul maklumat demografi dan ekonomi, tetapi juga merekodkan amalan pertanian, alatan serta teknologi yang digunakan oleh responden.

Sebagai kesimpulan, Banci Pertanian #BP2024 adalah penting dalam memastikan keterjaminan makanan Malaysia pada masa akan datang. Dengan membuat pengumpulan data yang tepat tentang amalan serta pengeluaran pertanian, kita dapat membangunkan dasar yang efektif bagi menangani cabaran yang dihadapi seperti perubahan iklim dan gangguan rantaian bekalan. Inisiatif ini bertujuan menjadikan Malaysia lebih berdikari, berdaya tahan, serta memastikan bekalan makanan yang mampan untuk rakyat. Maklumat yang diperolehi akan memanfaatkan semua pihak, dari petani sehinggalah ke pengguna, serta membantu kita memperkasakan sektor pertanian yang lebih mampan dan selamat.